Alhamdullilah, kandungan me dah memasuki minggu ke 30... terasa cepat masa berlalu, terasa kuat lak debaran dihati. Dalam trimester ketiga baby dah makin aktif pergerakannya.. pagi, petang, malam tak sah dengan aksi akrobatik.... sampai boleh hafal time kelasakan dia tu... Husband pun dah dapat rasa kicking baby.... makin kuat mana taknya. ....bayangkan tengah mummy dia busy kerja, baby pun ligat nak work sama-sama..... hamboi kemain bagi moral support!
Me nak share interesting artikel yang baru dibaca nie.....kita tambah ilmu mengenai kehamilan lagi-lagi newbies cam me... mana ada experience kan :)
Aktiviti bayi iaitu menendang, berguling dan bergoyang yang anda rasai
berbeza sepanjang tempoh kehamilan. INTAN JASTINA JAMALUDDIN membantu
anda memahami corak pergerakan bayi.
Pengalaman merasai bayi berputar, menggeliut, menumbuk, menendang dan
tersedu merupakan salah satu daripada fasa kehamilan yang anda lalui.
Ada ketikanya anda mungkin gusar tentang pergerakan bayi. Persoalan
seperti adakah bayi cukup menendang atau terlalu banyak selalu muncul di
minda. Tidak kurang juga ada yang beranggapan bayi mempunyai 2 pasang
kaki disebabkan kekerapan dia menendang.
Trimester Pertama
Bermula daripada awal usia kehamilan hingga penghujung 3 bulan pertama,
trimester awal ini merupakan masa di mana perkembangan pantas dan
menakjubkan berlaku. Namun, jangan pula menjangka sebarang pergerakan
bayi. Ketika ini, bayi masih terlalu kecil untuk membolehkan anda
mengalaminya. Biarpun begitu, di dalam rahim, ketahuilah dia sudah boleh
melonjak tetapi sayangnya, anda tidak mungkin dapat merasainya.
Trimester Kedua
Pada trimester ini, bayi anda sudah mampu sekurang-kurangnya menghisap
ibu jari, menendang dan menghentam. Sesetengah wanita yang terlalu kurus
atau yang pernah hamil sebelum ini mungkin boleh merasai pergerakan
pertama bayinya seawal bulan ke-4. Namun, kebanyakan wanita tidak
perasan atau mengenal pasti sentakan dan pergerakan pantas di mana ia
dapat dirasai seperti angin atau kekejangan otot.
Pada bulan ke-5 pula, kebanyakan wanita dapat merasai kegelisahan dan
rasa gemuruh bayi. Pergerakan bayi akan mula menjadi seperti gerakan
akrobatik sebaik sahaja ototnya kuat dan kemahiran motornya berkembang.
Namun, dia masih kecil untuk melakukan pergerakan tungging terbalik.
Apabila anda mula merasai “karate” pertamanya, jangan panik jika ia
berlaku semula selepas beberapa jam. Malah ada juga yang merasainya
selepas sehari atau dua. Pada tahap ini, saiz bayi masih kecil. Jadi,
adalah normal untuk anda tidak merasai pergerakan yang tetap. Walau
bagaimanapun, jika anda tidak merasai sebarang pergerakan sehingga
pertengahan bulan ke-5, pastikan doktor yang merawat melakukan ujian
imbasan ultra bunyi untuk memantau keadaan bayi.
Bayi akan mula banyak bergerak setelah usianya mencecah 6 bulan.
Pergerakan kakinya lebih mengikut irama dan anda akan mula perasan
tepukan kaki si kecil. Disebabkan kesibukan anda menjalani rutin harian,
anda mungkin perasan bahawa bayi lebih aktif sebaik anda beristirehat
terutamanya di waktu malam. Malah selepas anda mengambil snek pun, dia
menjadi aktif apabila kandungan gula dalam darah memberi tenaga tambahan
kepadanya. Antara lain, sewaktu anda berasa gemuruh, pengalaman yang
sama dapat dirasai kerana adrenalin memberi kesan yang sama kepada bayi.
Trimester Ketiga
Pada usia kandungan 7 bulan, rahim semakin sempit. Namun, bayi masih
mempunyai ruang untuk berpusing dan melambung. Dia juga semakin kuat.
Jadi, tumbukannya benar-benar boleh membuatkan anda terkejut. Perlu anda
ingat! Bayi adalah individu. Corak pergerakannya dengan bayi yang lain
adalah berbeza. Jadi, jangan bandingkan pergerakannya dengan bayi dalam
kandungan wanita yang lain. Malah, anda jangan tertekan jika bayi kurang
aktif.
Berat bayi yang semakin bertambah pada usianya 8 bulan membuatkan ruang
dalam rahim semakin sempit. Pergerakan akrobatiknya semakin berkurangan
tetapi anda akan tetap boleh merasai dia menggeliang geliut dan
berputar. Pada ketika ini juga, anda mungkin boleh merasai tusukan siku
dan lututnya.
Pada usianya 9 bulan, anda tidak dapat merasai tendangan yang
menumbuk-numbuk tetapi lebih kepada senggutan dan sepakan hingga
menyentak anda daripada apa sahaja yang sedang anda lakukan ketika hal
ini berlaku. Malah, anda mungkin akan mengalami kesakitan setiap kali
kaki bayi terkena rusuk anda. Untuk melegakannya, ubah posisi atau
miringkan pelvik anda.
Pergerakan Di Akhir Kehamilan
Pada minggu-minggu terakhir, bayi akan berada di dalam mangkuk pelvis
dan bersiap sedia untuk dilahirkan. Kepala bayi dapat dirasai
seolah-olah sebiji tembikai yang menekan lantai pelvis.
Pergerakan Pertama
Kebanyakan wanita akan merasai pengalaman tendangan pertama bayi
sekitar minggu ke-13 hingga ke-25. Sesetengahnya dapat merasai bayi
bergerak seawal minggu ke-13 hingga ke-16. Pergerakan pertama ini
dikenali sebagai quickening. Ia sering digambarkan sebagai getaran. Ia
mungkin sukar untuk tentukan sama ada apa yang anda rasai ialah angin
atau pergerakan bayi. Namun, lama-kelamaan anda berupaya mengenal pasti
corak pergerakannya. Ibu yang pertama kali hamil mungkin tidak dapat
merasai pergerakan ini seawal seperti yang dialami oleh ibu hamil
beberapa kali. Ketahuilah, ada ibu baru yang langsung tidak berpeluang
melalui pengalaman ini sehingga kehamilannya masuk minggu ke-18 hingga
ke-20.
Apabila kepala bayi “turun” ke dalam pelvis, anda akan terasa “ringan”,
disebabkan kurangnya tekanan yang dahulunya berlaku di bawah tulang
rusuk. Pada peringkat ini, anda tidak lagi merasai pergerakan yang biasa
dilakukan bayi. Sebaliknya, anda mungkin mengalami tendangan yang tidak
henti-henti di bawah tulang rusuk sama ada di sebelah kiri atau kanan
(dipengaruhi oleh posisi bayi).
Carta Tendangan
Kebanyakan wanita dinasihatkan supaya mengesan pergerakan bayi dengan
menggunakan carta tendangan. Anda perlu merekod pergerakan bayi sehingga
jumlahnya mencecah 10 tendangan. Sebaik-baiknya pada waktu yang sama
setiap hari. Carta ini membantu anda memahami pola gerakan bayi.
Sekiranya terdapat sebarang perubahan dalam pola tersebut, berjumpalah
dengan doktor anda dengan segera untuk mengetahui puncanya.
Credit PaMa